Friday, February 7, 2014

PENGINTEGRASIAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Disediakan oleh : Mazni binti Mohamed

Artikel ini merupakan hasil penulisan Md. Nor Bakar dan Rashita A. Hadi Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia. Kajian dijalankan bagi mengetahui tahap pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dalam kalangan guru Matematik. Tiga aspek telah dikaji bagi menjawab persoalan kajian ini iaitu tahap pengintegrasian ICT dalam kalangan guru Matematik, kesesuaian kursus ICT yang ditawarkan oleh pihak sekolah atau Pejabat Pelajaran Daerah kepada guru Matematik dan faktor-faktor yang menjadi penghalang kepada pengintegrasian komputer dalam kalangan guru Matematik.
Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran dilihat dari dua aspek iaitu aspek pengajaran ianya digunakan sebagai alat persembahan dan demonstrasi manakala dari aspek pembelajaran ianya digunakan sebagai tutorial, latih tubi, penerokaan, aplikasi dan komunikasi. Kementerian Pelajaran telah membekalkan pelbagai kemudahan kepada guru-guru bagi tujuan pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Namun daripada kajian yang telah dijalankan, didapati penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik masih berada pada tahap yang rendah. Antara halangan yang telah dikenalpasti ialah guru kurang pengetahuan dan kemahiran dalam ICT. Selain itu kursus-kursus ICT dalam kalangan guru-guru Matematik adalah amat terhad sedangkan pelbagai kaedah komputer dapat digunakan dalam mata pelajaran ini.
Metodologi kajian yang digunakan ialah gabungan kaedah kuantitatif dan kualitatif di mana pengkaji menggunakan soal selidik dan temu bual berstruktur. Bilangan sampel yang dipilih secara persampelan rawak ialah 30 orang bagi menjawab soal selidik , 3 orang daripada 30 orang tersebut dan 15 orang penyelaras makmal komputer dipilih untuk temu bual berstruktur. Responden dipilih daripada beberapa buah sekolah di daerah Kota Tinggi, Johor.
Daripada kajian yang dijalankan, didapati guru-guru jarang menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran dan masih cenderung menggunakan kaedah pengajaran secara tradisional. Antara halangan yang dihadapi oleh guru ialah bilangan komputer yang tidak mencukupi, gangguan talian internet, masa pengajaran yang tidak mencukupi, kurang bantuan teknikal, kurang kemahiran ICT.
 Hasil dapatan ini sebahagiannya menyamai dapatan kajian yang dijalankan oleh Jones (2004). Penulis mendapati bahawa tujuh halangan yang wujud semasa pengintegrasian ICT dalam pengajaran ialah guru kurang berkeyakinan semasa pengintegrasian (21.2% responden), kurang capaian terhadap sumber (20.8%), kekurangan masa untuk membuat pengintegrasian (16.4%), kurang latihan yang efektif (15.0%), menghadapi masalah teknikal semasa perisian digunakan (13.3%), kurang capaian individu semasa penyediaan bahan pengajaran (4.9%) dan usia guru (1.8%).
Kesimpulannya, penggunaan ICT yang rendah dalam pengajaran dan pembelajaran bukanlah disebabkan faktor dalaman guru-guru tetapi disebabkan faktor luaran seperti kemudahan yang tidak sempurna, kekurangan latihan serta perkhidmatan dan bantuan teknikal yang kurang memuaskan.

(Dipetik daripada : Journal of Science and Mathematics Educational, volume 2 Jun 2011, Pages 1-17/ISSN:2231-7368)

*Saya mengambil artikel ini kerana saya berasa kandungan yang ditulis oleh penulis amat tepat kepada apa yang sedang berlaku pada dunia pendidikan sekarang.


No comments:

Post a Comment