Saturday, February 15, 2014

APLIKASI PENGGUNAAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SUBJEK BAHASA MELAYU DI DALAM KELAS


Sedasarwasa ini, perkembangan kurikulum yang semakin kompleks memerlukan kemahiran pemikiran dan penaakulan yang tinggi agar dapat diproses dengan teknologi multimedia merentasi pelbagai displin ilmu yang ada pada dewasa ini.  Penggunaan perisian multimedia merupakan satu medium dan juga cara penyampaian pengajaran konvensional kepada model baharu pengajaran dan pembelajaran berasaskan pelajar.  Menurut Sharifah Maimunah (2003), Pengarah Pusat Perkembangan, menyatakan bahawa bermula daripada tahun 2003, mata pelajaran Sains dan Matematik telah diajar dalam  bahasa Inggeris.  Justeru, dengan adanya teknologi maklumat (ICT), ianya dapat memberikan satu kelebihan kepada pelajar mendalami ilmu pengetahuan dan kemahiran kerana mereka dapat membuat pencarian ilmu tersebut daripada pelbagai sumber yang kebanyakannya  ditulis di dalam Bahasa Inggeris. 

Menurut Abd. Rahim (2000), menyatakan bahawa Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan memerlukan satu rombakan baharu dalam dasar pendidikan tinggi khususnya dari segi liberalisasi, pendemokrasian dan reformasi pendidikan tinggi.  Justeru, guru hari ini perlu menguasai konsep pengajaran berbantukan komputer agar pemahaman yang mantap terhadap konsep tersebut dapat memberi kesan kepada mutu pengajaran dan pembelajaran guru.  Ini disebabkan terdapat pelbagai pemahaman terhadap konsep yang diberikan oleh guru-guru pada hari ini. Tiga komponen utama yang perlu ada di dalam pengajaran bahasa berbantukan komputer iaitu komputer, bahasa dan pembelajaran (Finkbeiner, 2001).

Guru pada peringkat awal perlu memahami konsep dan prosedur pelaksanaan pengajaran menggunakan komputer agar memberikan kesan yang optimum kepada pelajar. Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa ada dilakukan oleh guru Bahasa Melayu. Namun, penggunaan yang tidak menyeluruh dari segi keperluan perlu diberikan perhatian. Contohnya, penggunaan komputer dalam kemahiran menulis menggunakan aplikasi perisian Microsoft Word sepatutnya diberikan perhatian kerana penggunaan komputer mampu membantu pelajar dalam menyusun organisasi teks serta dapat memudahkan penyuntingan dilakukan. Bagi memastikan keberkesanan pengajaran, bahan bantu yang digunakan perlulah dapat membantu guru menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan (Yahya Othman, 2007). 

Kajian yang dijalankan oleh Saad Al Kahtani (1999) menunjukkan penggunaan komputer dalam pengajaran menulis karangan dapat memberi kesan terhadap pencapaian pelajar.  Kekangan yang dihadapi oleh guru Bahasa Melayu dalam melaksanakan pengajaran berbantukan komputer meliputi aspek kursus peningkatan, pelajar yang pelbagai kecerdasan, teknologi komputer yang sering berubah, masa yang diperlukan untuk membuat persediaan pengajaran dan sebagainya boleh memberi kesan terhadap pengajaran.   Stallard (1998) pula menghuraikan faktor kebolehan guru dalam pengendalian komputer, penyediaan bahan pengajaran dan strategi yang sesuai digunakan merupakan kekangan yang sering dihadapi. 

Dalam hal ini, perancangan dan persediaan pihak pentadbir sekolah dalam menyediakan guru-guru agar benar-benar menguasai kemahiran tersebut perlu dilakukan secara professional.  Masalah dalam penggunaan komputer perlu dihadapi dengan memberikan penekanan kepada penggunaan ICT dalam pengajaran sebagaimana yang ditekankan oleh Kementerian Pelajaran.  Sukatan pelajaran Bahasa Melayu perlu dirujuk untuk melihat keperluan menggunakan komputer dalam pengajaran. Selain itu, penekanan pengajaran secara integrasi dalam mata pelajaran yang lain juga mampu untuk membantu pelajar mahir dalam sesuatu tajuk (Hokanson & Hooper, 2004). 

Guru sentiasa mencari pendekatan baharu bagi mengajar mata pelajarannya yang dapat memotivasikan pelajar melakukan penyelidikan, menelaah, menulis dan meransang pelajar mendapatkan maklumat yang diperlukan. Kepercayaan kini perisian multimedia berbantukan komputer adalah cara mentransformkan pendidikan yang paling efisien dan berkesan.  Menurut Ismail (2002), perisian multimedia boleh menjadi pemudah cara yang kuat bagi pengajaran dan pembelajaran dengan sebab-sebab dan kebijaksanaan untuk berjaya.  Sebagai contoh, seorang guru boleh menggunakan aplikasi Microsoft Excel dalam subjek matematik untuk memperolehi nilai tambah, tolak, bahagi dan darab melalui simbol ‘Autosum’.  Keadaan ini bukan sahaja dapat memberi satu pendekatan pengajaran yang baharu tetapi memberi satu nilai tambah kepada para pelajar terutamanya murid-murid di sekolah rendah bagi meminati subjek matematik yang dikatakan susah.

Proses pengajaran dan pembelajaran ICT sememangnya dapat membantu memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dan juga dapat mengurangkan beban tugas guru.  Oleh itu, pembelajaran berbantu  multimedia ini dapat menjadi sumber rujukan dan motivasi kepada guru bagi membuat seterusnya menghasilkan inovasi pada pengajaran agar proses pengajaran dan pembelajaran lebih difahami dan diikuti oleh pelajar. 
Pembelajaran berbantu multimedia dijangka dapat meningkatkan prestasi murid-murid di samping memberi pendedahan kepada guru dan pelajar terhadap penggunaan teknologi multimedia sebagai bahan bantu mengajar.  Dengan secara tidak langsung, ianya dapat meningkatkan imej sekolah yang terlibat sebagai sebuah sekolah yang memenuhi hasrat kerajaan untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dan gemilang serta lengkap dengan nilai intelek, rohani, emosi dan jasmani (JERI).

Pembelajaran berbantu multimedia dapat mempelbagaikan bahan rujukan pelajar kerana ia boleh diaplikasikan dengan pelbagai aktiviti pembelajaran seperti teks, meneliti gambar, video, visual pembelajaran dan sebagainya. Selain daripada itu pelajar tidak perlu terikat dengan sesuatu gaya pembelajaran kerana pembelajaran berbantu multimedia ini dapat menangani masalah perbezaan pelajar dengan mengindividukan  pengajaran mengikut kebolehan mereka (Sharifah Alawiah , 1987).  Secara tidak langsung, ianya akan meningkatkan kefahaman pelajar seterusnya meningkatkan pencapaian pelajar

Dalam konteks pendidikan pada hari ini, guru perlu didedahkan kepada idea baharu dan peluang dalam kerjaya profesion keguruan mereka seperti menghadiri kursus ICT jangka pendek.  Pihak sekolah juga perlu mengambil inisiatif memajukan profesion keguruan dalam konteks penggunaan ICT dalam pendidikan agar guru-guru yang berkhidmat di sekolah menerima transformasi dan kemajuan dalam kerjaya profesion keguruan.

Program perkembangan staf yang melibatkan profesion keguruan di sekolah-sekolah haruslah dirancang dengan baik. Prasarana dan kemudahan di sekolah hendaklah dipantau bagi membolehkan penggunaan komputer secara meluas dalam kalangan guru-guru.  Pada hari ini, masih banyak ruang kosong yang mampu diisi dan digunakan untuk mempertingkatkan lagi pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan komputer terutama dalam era globalisasi di mana ilmu boleh didapati hanya di hujung jari sahaja. Penggunaan komputer dan Internet diyakini akan dapat membantu mewujudkan suasana pembelajaran bestari yang menekankan tiga unsur penting iaitu, self access, selffaced, dan self directed.

        Pendidikan hari ini tidak lagi hanya mengugnakan kapur tetapi lebih kepada teknologi multimedia yang mampu meningkatkan kreativiti dan inovasi guru.  Pendidikan tidak lagi hanya berada di bilik darjah semata-mata tetapi guru dan murid boleh melangkah keluar bagi melihat pengajaran dan pembelajaran yang serba baharu.  Berdasarkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dalam bukunya Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 menyatakan bahawa Misi Nasional dan Rancangan Malaysia ke Sembilan telah menetapkan Pembagunan Minda insan kelas pertama sebagai salah satu teras utama ke arah mencapai Wawasan 2020.  Sistem pendidkan dan kurikulum skeolah telah menerapkan teknologi dan maklumat ini dan berusaha maju serta memupuk minat di samping memupuk minat dan mengukuhkan lagi sikap positif dalam kalangan murid dan pelajar serta pendidik terhadap perkembangan teknologi maklumat ini.  Teknologi dan perisian komputer ini bukan sahaja membantu dalam pengurusan dan pentadbiran, tetapi memberi nilai tambah yang sangat berguna dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara total.

Kesimpulannya, dunia pendidikan pada hari ini sedang mengalami zaman penuh cabaran terutama dari segi pandangan umum terhadap kepentingannya dalam pengajaran (A. Aziz Deraman, 2007). Walaupun demikian, aspek pengajaran perlu diberikan perhatian dengan menekankan penguasaan kemahiran bahasa yang diajarkan. Penggunaan komputer dalam pengajaran berupaya meningkatkan lagi keupayaan pelajar dalam menguasai semua subjek dengan lebih baik. Oleh itu, aspek latihan dalam perkhidmatan, penyediaan bahan pembelajaran interaktif, menggalakkan penggunaan internet dalam pengajaran serta penyediaan teknologi yang sesuai dengan keperluan semasa perlu diberikan perhatian. 


No comments:

Post a Comment