APLIKASI PENGGUNAAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SUBJEK
BAHASA MELAYU DI DALAM KELAS
Sedasarwasa ini, perkembangan kurikulum yang
semakin kompleks memerlukan kemahiran pemikiran dan penaakulan yang tinggi agar
dapat diproses dengan teknologi multimedia merentasi pelbagai displin ilmu yang
ada pada dewasa ini. Penggunaan perisian multimedia merupakan satu medium
dan juga cara penyampaian pengajaran konvensional kepada model baharu
pengajaran dan pembelajaran berasaskan pelajar. Menurut Sharifah Maimunah
(2003), Pengarah Pusat Perkembangan, menyatakan bahawa bermula daripada tahun
2003, mata pelajaran Sains dan Matematik telah diajar dalam bahasa
Inggeris. Justeru, dengan adanya teknologi maklumat (ICT), ianya dapat
memberikan satu kelebihan kepada pelajar mendalami ilmu pengetahuan dan
kemahiran kerana mereka dapat membuat pencarian ilmu tersebut daripada pelbagai
sumber yang kebanyakannya ditulis di dalam Bahasa Inggeris.
Menurut Abd. Rahim (2000), menyatakan bahawa
Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan memerlukan satu rombakan baharu
dalam dasar pendidikan tinggi khususnya dari segi liberalisasi, pendemokrasian
dan reformasi pendidikan tinggi. Justeru, guru hari ini perlu menguasai
konsep pengajaran berbantukan komputer agar pemahaman yang mantap terhadap
konsep tersebut dapat memberi kesan kepada mutu pengajaran dan pembelajaran
guru. Ini disebabkan terdapat pelbagai pemahaman terhadap konsep yang
diberikan oleh guru-guru pada hari ini. Tiga komponen utama yang perlu ada di
dalam pengajaran bahasa berbantukan komputer iaitu komputer, bahasa dan
pembelajaran (Finkbeiner, 2001).
Guru pada peringkat awal perlu memahami konsep
dan prosedur pelaksanaan pengajaran menggunakan komputer agar memberikan kesan
yang optimum kepada pelajar. Penggunaan komputer dalam
pengajaran bahasa ada dilakukan oleh guru Bahasa Melayu. Namun, penggunaan yang
tidak menyeluruh dari segi keperluan perlu diberikan perhatian. Contohnya,
penggunaan komputer dalam kemahiran menulis menggunakan aplikasi perisian Microsoft
Word sepatutnya diberikan perhatian kerana penggunaan komputer mampu
membantu pelajar dalam menyusun organisasi teks serta dapat memudahkan
penyuntingan dilakukan. Bagi memastikan keberkesanan pengajaran, bahan bantu
yang digunakan perlulah dapat membantu guru menyampaikan pengajaran dengan
lebih berkesan (Yahya Othman, 2007).
Kajian yang dijalankan oleh Saad Al Kahtani
(1999) menunjukkan penggunaan komputer dalam pengajaran menulis karangan dapat
memberi kesan terhadap pencapaian pelajar. Kekangan yang dihadapi oleh
guru Bahasa Melayu dalam melaksanakan pengajaran berbantukan komputer meliputi
aspek kursus peningkatan, pelajar yang pelbagai kecerdasan, teknologi komputer
yang sering berubah, masa yang diperlukan untuk membuat persediaan pengajaran dan
sebagainya boleh memberi kesan terhadap pengajaran. Stallard (1998)
pula menghuraikan faktor kebolehan guru dalam pengendalian komputer, penyediaan
bahan pengajaran dan strategi yang sesuai digunakan merupakan kekangan yang
sering dihadapi.
Dalam hal ini, perancangan dan persediaan
pihak pentadbir sekolah dalam menyediakan guru-guru agar benar-benar menguasai
kemahiran tersebut perlu dilakukan secara professional. Masalah dalam
penggunaan komputer perlu dihadapi dengan memberikan penekanan kepada
penggunaan ICT dalam pengajaran sebagaimana yang ditekankan oleh Kementerian
Pelajaran. Sukatan pelajaran Bahasa Melayu perlu dirujuk untuk melihat
keperluan menggunakan komputer dalam pengajaran. Selain itu, penekanan
pengajaran secara integrasi dalam mata pelajaran yang lain juga mampu untuk
membantu pelajar mahir dalam sesuatu tajuk (Hokanson & Hooper, 2004).
Guru sentiasa mencari pendekatan baharu bagi
mengajar mata pelajarannya yang dapat memotivasikan pelajar melakukan
penyelidikan, menelaah, menulis dan meransang pelajar
mendapatkan maklumat yang diperlukan. Kepercayaan kini perisian multimedia
berbantukan komputer adalah cara mentransformkan pendidikan yang paling efisien
dan berkesan. Menurut Ismail (2002), perisian multimedia boleh menjadi
pemudah cara yang kuat bagi pengajaran dan pembelajaran dengan sebab-sebab dan
kebijaksanaan untuk berjaya. Sebagai contoh, seorang guru boleh
menggunakan aplikasi Microsoft Excel dalam subjek matematik
untuk memperolehi nilai tambah, tolak, bahagi dan darab melalui simbol ‘Autosum’.
Keadaan ini bukan sahaja dapat memberi satu pendekatan pengajaran yang baharu
tetapi memberi satu nilai tambah kepada para pelajar terutamanya murid-murid di
sekolah rendah bagi meminati subjek matematik yang dikatakan susah.
Proses pengajaran dan pembelajaran ICT
sememangnya dapat membantu memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di
dalam kelas dan juga dapat mengurangkan beban tugas guru. Oleh itu,
pembelajaran berbantu multimedia ini dapat menjadi sumber rujukan dan motivasi
kepada guru bagi membuat seterusnya menghasilkan inovasi pada pengajaran agar
proses pengajaran dan pembelajaran lebih difahami dan diikuti oleh
pelajar.
Pembelajaran berbantu multimedia dijangka
dapat meningkatkan prestasi murid-murid di samping memberi pendedahan kepada
guru dan pelajar terhadap penggunaan teknologi multimedia sebagai bahan bantu
mengajar. Dengan secara tidak langsung, ianya dapat meningkatkan imej
sekolah yang terlibat sebagai sebuah sekolah yang memenuhi hasrat kerajaan
untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dan gemilang serta lengkap dengan nilai
intelek, rohani, emosi dan jasmani (JERI).
Pembelajaran berbantu multimedia dapat
mempelbagaikan bahan rujukan pelajar kerana ia boleh diaplikasikan dengan
pelbagai aktiviti pembelajaran seperti teks, meneliti gambar, video, visual
pembelajaran dan sebagainya. Selain daripada itu pelajar tidak perlu terikat
dengan sesuatu gaya pembelajaran kerana pembelajaran berbantu multimedia ini
dapat menangani masalah perbezaan pelajar dengan mengindividukan
pengajaran mengikut kebolehan mereka (Sharifah Alawiah , 1987). Secara
tidak langsung, ianya akan meningkatkan kefahaman pelajar seterusnya
meningkatkan pencapaian pelajar
Dalam konteks pendidikan pada hari ini, guru
perlu didedahkan kepada idea baharu dan peluang dalam kerjaya profesion
keguruan mereka seperti menghadiri kursus ICT jangka pendek. Pihak
sekolah juga perlu mengambil inisiatif memajukan profesion keguruan dalam
konteks penggunaan ICT dalam pendidikan agar guru-guru yang berkhidmat di
sekolah menerima transformasi dan kemajuan dalam kerjaya profesion keguruan.
Program perkembangan staf yang melibatkan
profesion keguruan di sekolah-sekolah haruslah dirancang dengan baik. Prasarana
dan kemudahan di sekolah hendaklah dipantau bagi membolehkan penggunaan
komputer secara meluas dalam kalangan guru-guru. Pada hari ini, masih
banyak ruang kosong yang mampu diisi dan digunakan untuk mempertingkatkan lagi
pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan komputer terutama dalam era
globalisasi di mana ilmu boleh didapati hanya di hujung jari sahaja. Penggunaan
komputer dan Internet diyakini akan dapat membantu mewujudkan suasana
pembelajaran bestari yang menekankan tiga unsur penting iaitu, self
access, selffaced, dan self directed.
Pendidikan hari ini
tidak lagi hanya mengugnakan kapur tetapi lebih kepada teknologi multimedia
yang mampu meningkatkan kreativiti dan inovasi guru. Pendidikan tidak
lagi hanya berada di bilik darjah semata-mata tetapi guru dan murid boleh
melangkah keluar bagi melihat pengajaran dan pembelajaran yang serba
baharu. Berdasarkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dalam bukunya
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 menyatakan bahawa Misi Nasional dan
Rancangan Malaysia ke Sembilan telah menetapkan Pembagunan Minda insan kelas
pertama sebagai salah satu teras utama ke arah mencapai Wawasan 2020.
Sistem pendidkan dan kurikulum skeolah telah menerapkan teknologi dan maklumat
ini dan berusaha maju serta memupuk minat di samping memupuk minat dan mengukuhkan
lagi sikap positif dalam kalangan murid dan pelajar serta pendidik terhadap
perkembangan teknologi maklumat ini. Teknologi dan perisian komputer ini
bukan sahaja membantu dalam pengurusan dan pentadbiran, tetapi memberi nilai
tambah yang sangat berguna dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara
total.
Kesimpulannya, dunia pendidikan pada hari ini
sedang mengalami zaman penuh cabaran terutama dari segi pandangan umum terhadap
kepentingannya dalam pengajaran (A. Aziz Deraman, 2007). Walaupun demikian,
aspek pengajaran perlu diberikan perhatian dengan menekankan penguasaan
kemahiran bahasa yang diajarkan. Penggunaan komputer dalam pengajaran berupaya
meningkatkan lagi keupayaan pelajar dalam menguasai semua subjek dengan lebih
baik. Oleh itu, aspek latihan dalam perkhidmatan, penyediaan bahan pembelajaran
interaktif, menggalakkan penggunaan internet dalam pengajaran serta penyediaan
teknologi yang sesuai dengan keperluan semasa perlu diberikan perhatian.